Wednesday, May 25, 2011

Lawatan Pertama Ke SK Long Lamai pada 19 hingga 23 Mei 2011

Di pintu masuk sekolah.
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Akhirnya, masa yang ditunggu sudah tiba. Kami telah membuat lawatan ke SK Long Lamai pada 19 hingga 23 Mei 2011. Lawatan pertama ini sangat menarik kerana disertai juga oleh En Shahrir (BPG), Pn Nomi (BPK) dan En Muhsin (BPK). Saya juga telah membawa seorang jurukamera iaitu Abang Mortadza bin Abang Fauzan untuk membantu mendokumentasikan perjalanan kami di sana.
                Kami berjumpa di Airport Miri pada pukul 8 pagi kerana perjalanan kami ke SK Long Lamai menggunakan pesawat twin-otter dari Miri ke Marudi dan seterusnya terbang ke Long Banga. Perjalanan udara itu mengambil masa selama 1 jam 10 minit. Sampai di Lapang terbang Long Banga, kami berbincang samada mahu menggunakan jalan air ataupun jalan darat. Jika kami menggunakan jalan darat, kami terpaksa meredah hutan yang tebal dan mungkin mengambil masa yang lama iaitu antara 3-4 jam.(Itu pun belum tentu lagi sampai) Atas sebab terlalu banyak barang yang hendak dibawa, dan atas nasihat guru besar SK Long Banga, kami mengambil keputusan untuk menggunakan perahu. Nasiblah pada masa itu ada 2 perahu tetapi masalahnya kami terpaksa mengambil 1 lagi perahu dari Long Puak kerana keadaan sungai yang cetek dan berbatu (sangat bahaya jika perahu terbalik). Kami terpaksa membayar RM120 untuk 1 perahu bagi satu perjalanan ke Long lamai. (Kira la sendiri RM120 X 3 perahu =  ??? :)) Jadi, 3 perahu kami pun bertolak ke Long Lamai.

Inilah laluan sungai yang kami lalui untuk ke Long Puak sebelum ke Long Lamai

Sepanjang perjalanan menyusuri sungai, saya dapat lihat En Shahrir, Pn Nomi dan En Muhsin sangat seronok melihat keadaan geografi kawasan pedalaman di Sarawak.(Boleh pergi lagi ni...)Mereka sangat asyik mengambil gambar dan video sungai dan kawasan sekitar sepanjang perjalanan tersebut.
                         Inilah video amatur yang saya ambil sepanjang perjalanan

Perjalanan menyusuri sungai ini sangat bahaya. Juru Bot kami sangat berhati-hati semasa membawa bot ini (Al-maklumlah bawa 'orang perintah') Alhamdulillah, kami selamat sampai di jeti SK Long Lama. Jelas terpancar sinar kelegaan tetapi hanya perut sahaja yang berkeroncong minta diisi. Kami berehat sebentar di Dewan Makan SK Long Lamai untuk menyejukkan tekak yang kekeringan sambil berbual mesra dengan warga guru dan staf SK long Lamai, Baram.

Lega...sampai juga akhirnya.
Kami disambut oleh PK1 sekolah berkenaan dan beliau membantu kami untuk menumpang rumah Guru Besar sekolah berkenaan yang pada masa itu tiada di Sekolah. Nasib baik juga kami membawa bekalan makanan ke sana. Jadi, menu kami tengahari itu....Sardin. (sardin pun sardin la ..."kata Mohsin")

Pada petang itu, kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan sekitar sekolah dan kampung sambil beramah mesra dengan penduduk kampung dan guru sekolah. Apa yang menarik di kampung ini ialah Bola Sepak adalah acara sukan kegemaran penduduk kampung disini. Kali terakhir saya datang ke Long Lamai ialah pada tahun 2005 dan pada tahun 2011 saya dapat lihat aktiviti masa lapang mereka masih sama.

Pemandangan yang indah diambil dari Kuarters guru. Betapa indahnya mengajar di Pedalaman.

Saya amat tertarik dengan lanskap sekolah ini. Ini adalah sebahagian gambar yang telah saya ambil.
Bahasa Melayu: Serai wangi, Bahasa Penan: Peng

Bahasa Melayu: Ubi kayu Bahasa Penan: Ubei
Keesokan hari, kami pun memulakan tugas. Pada mulanya, guru-guru di sekolah berkenaan agak berhati-hati kerana mereka menganggap lawatan ini adalah untuk mencari kesalahan mereka. Tetapi, setelah dijelaskan tujuan sebenar mereka berasa sangat gembira dengan kehadiran Coaches untuk membantu mereka dalam pengajaran mereka.

Murid-murid berhimpun untuk menyanyikan lagu Negaraku sebelum memulakan sesi pembelajaran
Murid-murid sedang belajar Bahasa Inggeris.

Maklumat yang pertama kami perolehi adalah guru-guru yang mengajar matapelajaran kritikal di sekolah ini ialah guru-guru yang non-optionist. mereka tidak mempunyai latar belakang mengajar subjek ini secara langsung atau tidak langsung. Oleh yang demikian, Coaches telah mengambil inisiatif untuk memberi motivasi dan semangat kepada guru-guru ini untuk tidak menjadikan itu sebagai satu alasan untuk tidak mengajar dengan baik. Masa disana digunakan dengan sepenuhnya untuk membantu guru-guru di Sekolah berkenaan. Terasa sekejap sahaja masa berlalu bila berada di sana.

 Perjalanan balik kami mengambil peluang untuk menggunakan jalan darat. Terasa 'adventure'nya untuk membawa 3 pegawai BPG merasai jalan darat supaya mereka dapat melihat keindahan negeri Sarawak ini. Kami terpaksa menggunakan 2 kenderaan untuk ke Miri.
Kami bertolak dari Long Lamai pada pukul 1130 pagi dan sampai ke Miri pada pukul 1200 malam. Betapa penatnya perjalanan pada hari itu tetapi terpancar kepuasan yang tidak dapat dijelaskan apabila sudah sampai ke Miri.


Gambar sepanjang perjalanan balik

Pemandangan dari jalan balak.
Seperti di Pusat Peranginan...tetapi ini di Ulu Baram.
                          Rakaman video amatur perjalanan pulang melalui jalan balak

Saya akan update lagi maklumat-maklumat perjalanan di dalam blog ini dari semasa ke semasa. Jumpa lagi...
Lawatan kali ke 2 dijangka pada 27 Jun 2011 hingga 2 Julai 2011. Semoga perjalanan ke 2 nanti akan selamat. Insyaallah.

p/s: Sila type 'Long Lamai' dalam youtube untuk melihat video
       Jangan lupa hantar laporan SISC :)

Wednesday, March 9, 2011

Pekan Long Lama. Tempat transit sebelum menuju ke SK Long Luteng
Feri keluar masuk ke Pekan long lama
Sementara menunggu Surat Lantikan atau 'lesen' SISC dari pihak Bahagian Pendidikan Guru, saya akan cuba upload sedikit sebanyak gambar-gambar yang saya kumpul untuk perkongsian semua coaches. Dua gambar ini diambil semasa saya terlibat di dalam Program 'Outreach' Program Model Pensiangan Salinatan di SK Long Luteng di daerah Baram.

Tuesday, March 8, 2011

First meeting of SISC in Miri

Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Aktiviti Kejurulatihan Instructional Program SISC 2011 Zon Sarawak telah diadakan pada 7 hingga 9 Mac 2011 bertempat di Dynasty Hotel, Miri Sarawak. Program yang dihadiri oleh guru-guru cemerlang dan pensyarah-pensyarah IPG Kampus Sarawak ini bertujuan memberi input mengenai kejurulatihan Instruksional. Semua guru-guru cemerlang dan pensyarah-pensyarah ini akan membantu sekolah-sekolah pedalaman yang berada di tahap 6 dan 7 untuk "coaching" guru-guru subjek kritikal disekolah-sekolah pedalaman.
Mesyuarat ini banyak memberikan banyak input yang penting iaitu NKRA pendidikan yang memberi pengetahuan yang berguna tentang hala tuju kerajaan betapa pentingnya kemenjadian murid dan sekolah di Malaysia terutamanya di Sarawak untuk mengeluarkan murid-murid yang berkualiti.
Program SISC ini sangat berguna dan amat bermanfaat kerana semua coach yang terlibat dapat membantu bukan hanya dari segi pendekatan pengajaran tetapi memberi 'pat on the back' kepada guru-guru di pedalaman yang memerlukan bantuan dan motivasi dalam pengajaran mereka.
Sekolah-sekolah yang terlibat di bahagian Miri adalah seperti berikut:
1. SK Long Sait
2. SK Long Luteng
3. SK Long Jekitan
4. SK Long Lamei
5. SK Lusong Laku
Sebagai panduan dan maklumat kepada semua guru, bakal guru, dan mereka-mereka yang berminat untuk mengetahui tentang kehidupan dikawasan Ulu negeri Sarawak, saya akan upload gambar- gambar perjalanan ke kawasan tersebut. Tungguuuuu...